Blogger Widgets
Harimau Selatan official website | Members area : Register | Sign in

Apa komen anda mengenai Blog kami?

BERITA : KELANTAN JUARA PIALA FA 2013

Wednesday, 3 July 2013

Kelantan Juara Piala FA 2013


Kelantan membuktikan masih merupakan gergasi bola sepak negara selepas berjaya mempertahankan Piala FA yang dimenangi tahun lalu dengan menumbangkan Johor Darul Takzim 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Jaringan tunggal Mohd. Nor Farhan Muhammad pada minit ke-16 kekal sehingga ke akhir perlawanan tanpa dapat dicabar Johor DT.

Kejuaraan itu adalah yang kedua berturut-turut buat Kelantan dalam saingan Piala FA yang mula diperkenalkan sejak tahun 1990.

Sementara impian Johor DT untuk mengulangi pencapaian Johor pada tahun 1998 tidak kesampaian di samping gagal muncul kelab pertama memenangi trofi berkenaan.

Di hadapan 90,000 penonton dengan kehadiran penyokong yang seimbang antara kedua-dua pasukan, kegagahan The Red Warriors jelas terlalu sukar dicabar oleh Harimau Selatan dengan penguasaan mutlak dipamerkan bahagian tengah diketuai Mohd. Badhri Mohd. Radzi.

Serangan-serangan pantas yang diterapkan jurulatih, Bojan Hodak membuatkan Johor DT bagaikan hilang punca untuk bangkit.

Badhri dan Nor Farhan jelas menjadi duri dalam daging kepada pertahanan Johor DT yang kehilangan Mohd. Aidil Zafuan, malah Kamarul Afiq Kamaruddin serta Ahmad Tharmini Saiban tidak senang duduk berdepan kesukaran mengawal pergerakan licik Dickson Nwakaeme.

Segalanya serba tidak menjadi buat Johor DT sejak awal permainan lagi, malah percaturan Fandi Ahmad mempertaruhkan Safiq Rahim di bahagian tengah sia-sia apabila ketua pasukan kebangsaan itu langsung tidak menghadirkan sebarang impak dan dikeluarkan sebaik sahaja bersambung babak kedua.

Tiada kelibat pemain import Argentina, Leonel Nunez dipertaruhkan pada permulaan perlawanan, sebaliknya Fandi Ahmad memilih Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha menerajui barisan hadapan.
Penguasaan penuh The Red Warriors pada 45 minit pertama dengan sekurang-kurangnya tujuh peluang diperoleh melalui gerakan oleh Ahmad Fakri Saarani, namun disia-siakan.

Gol yang dicari-cari oleh Kelantan akhirnya menjelma menerusi hantaran bijak Badhri yang menghidu ruang kosong kedudukan Mohd. Nor Farhan Muhammad sebelum rembatan leretnya gagal diselamatkan oleh Muhd. Al-Hafiz Hamzah pada minit ke-16.

Johor DT bagaikan seolah-olah tidak beraksi pada separuh masa pertama ketika Fandi sudah terpaksa mengeluarkan Safee pada minit ke-18 dan Andrezinho, 19 minit kemudian kerana mendapat kecederaan.

Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat yang banyak berehat akhirnya terpaksa bertungkus lumus pada 30 minit terakhir permainan melalui hantaran-hantaran silang yang dicipta oleh K. Thanaraj serta Nurul Azwan Roya ketika momentum The Red Warriors sedikit menurun.

Dua sepakan percuma yang diperolehi oleh Nunez pada minit ke-78 dan 82 juga gagal memberi impak apabila gagal menepati sasaran.

– Utusan

BERITA : SEMANGAT SAFEE SEMAKIN MEMBARA

Thursday, 27 June 2013


SAFEE (kanan) bersedia diturunkan dalam kesebelasan utama Johor DT pada aksi final menentang Kelantan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.


PENGGEMPUR Harimau Selatan, Safee Sali berikrar untuk membawa pulang Piala FA ke bumi Johor Darul Takzim menjelang aksi final menentang Kelantan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.
Safee berkata, dia mahu memberi kegembiraan dengan menghadiahkan Piala FA kepada seluruh rakyat Johor yang selama ini memberi sokongan padu kepada skuad Harimau Selatan.
"Saya mahu berikan sesuatu yang bermakna kepada pasukan Johor Darul Takzim (Johor DT), itu merupakan matlamat, visi dan misi saya untuk tahun ini dan sepanjang karier saya bersama pasukan ini," kata Safee selepas sesi latihan di Stadium Tan Sri Hasan Yunos, Larkin kelmarin.
Safee berkata, jika terpilih dalam kesebelasan utama dan bakal bergandingan dengan Norshahrul Idlan Talaha, dia menganggap ia merupakan satu gandingan yang hebat yang mampu menghasilkan sentuhan gol.
"Sama ada saya diturunkan atau tidak, saya tetap bersedia dan bersama Mat Yo (Norshahrul), saya sifatkan ia sebagai satu percaturan baik dan menjadi satu skuad yang mantap kerana kami saling bantu membantu di atas padang," katanya.
Justeru, Safee mahu menggunakan kesempatan yang ada sebelum aksi final malam esok untuk mempertajamkan skil dan sentuhan jaringan.
"Sebenarnya, saya masih belum menemui rentak terutama di hadapan pintu gol.
"Saya akan berusaha sebaiknya dalam latihan nanti untuk perbaiki segala kelemahan saya dan saya sesekali tidak akan putus asa. Saya juga mengharapkan sesuatu keajaiban akan berlaku pada final nanti," katanya.
Ditanya tentang tahap kecergasannya, Safee berkata, dia kini bebas sepenuhnya daripada sebarang kecederaan yang menghantuinya sebelum ini.
"Saya tak sakit apa-apa, 100 peratus baik dan tidak berdepan dengan kecederaan. Saya harap menjelang perlawanan akhir, segala-galanya berjalan dengan lancar," ujar Safee.
Sebagai rekod, kali terakhir Johor mara ke final Piala FA ialah pada 1998 yang menyaksikan skuad Harimau Selatan itu muncul juara selepas mengalahkan Sabah 1-0.


Sumber : Kosmo Online

BERITA : PERINGATAN KERAS!!


Johor Bahru: “Jangan buat kesilapan bodoh.” Itu antara nasihat jurulatih penjaga gol Johor Darul Takzim (DT) Khairul Azman Mohamed kepada anak buahnya, Al Hafiz Hamzah yang bakal diturunkan pada final Piala FA menentang Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.
Bekas penjaga gol skuad kebangsaan itu berkata, kesilapan mudah tidak sepatutnya dilakukan kerana ia hanya akan menjejaskan rentak pasukan secara keseluruhan.

“Saya hanya mahu dia menikmati perlawanan itu,” kata bekas penjaga gol terbaik pernah dimiliki skuad negara itu.
Khairul juga menafikan Al Hafiz tidak mempunyai karakter sepertinya satu ketika dulu yang sering memberi arahan kepada benteng pertahanan untuk menutup ruang serangan pihak lawan.

“Dia (Al Hafiz) sudah melakukan tugas dengan baik dan ada memberi arahan kepada rakan sepasukannya tapi mungkin keadaan stadium yang padat dan bising menyebabkan arahannya itu kurang didengari.” Meskipun kata putus terakhir mengenai siapakah yang membarisi kesebelasan utama, esok terletak di tangan ketua jurulatih Fandi Ahmad, Khairul melihat Al Hafiz sebagai pilihan terbaik.

“Pada pandangan saya, memang Al Hafiz kerana dia mempunyai disiplin tinggi serta berada pada tahap terbaik ketika ini.
“Cuma saya harap dia tidak mengalami sebarang kecederaan dan kurangkan membuat kesilapan.”

Sumber : Harian Metro

BERITA : NAZRI TAK GENTAR


Johor Bahru: Pengalaman kali pertama beraksi di final Piala FA tidak mencetuskan rasa gentar pemain pertahanan Johor Darul Takzim (DT), Muhammad Nazri Ahmad dalam usaha membantu Harimau Selatan menamatkan kemarau piala sejak 15 tahun lalu.
Sebaliknya, pemain berusia 23 tahun itu tidak sabar mengekang asakan jentera serangan Kelantan pada final di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

“Piala FA adalah perlawanan terbesar bakal saya sertai sepanjang karier setakat ini.
“Soal rasa berdebar itu memang tidak ada tapi saya lebih fikir mengenai persiapan pasukan untuk aksi final,” katanya.

Muhammad Nazri yang diserap ke Johor DT sejak April lalu selepas beraksi cemerlang bersama Johor FA pada saingan Liga Perdana berkata, pertemuan menentang gergasi Pantai Timur itu peluang yang tidak boleh disia-siakan.

“Kita semua tahu Kelantan sebuah pasukan berpengalaman dan ia pengalaman bagus untuk kami,” katanya.
Muhammad Nazri turut akur terhadap kehebatan rangkaian jentera serangan Kelantan.

“Apapun, kami semua bertekad mempamerkan persembahan terbaik dan cuba membawa pulang Piala FA ke Johor.”

Sumber : Harian Metro

ARTIKEL BLOG

PENGUNJUNG